Assalamualaikum semua,
Ini saya ambil dari satu jawapan kpd seorang insan yg buruk sangka pada Allah diatas ujian yg Allah beri pada beliau....
Jawapannya bermula:
Sebenarnya, jika saudara ada usaha untuk menambah ilmu dan pengetahuan agama, permasalahan yang membelenggu saudara serta kenyataan dan persoalan yang saudara timbulkan sudah tersedia jawapannya.
Bagi saya, tidak perlu kita menjadi ulama atau ustaz bagi merungkai permasalahan dan persoalan saudara, sebaliknya cukup dengan sifat iman dan takwa, keinsafan serta keyakinan akan keagungan Allah SWT.
Saudara melahirkan kekesalan dihidupkan di dunia kerana rupa hodoh, keluarga miskin dan ayah yang tidak bertanggungjawab. Ya, memang hebat penderitaan saudara, namun izinkan saya bertanya, adakah penderitaan saudara sehebat penderitaan dialami Rasulullah SAW dan sahabat2nya?
Cuba saudara buka al-Quran atau baca sejarah Rasulullah. Takkan saudara tak tahu baginda membesar sebagai anak yatim piatu, buta huruf, bekerja sejak kecil sebagai penggembala kambing dan menerima pelbagai kekasaran serta ancaman daripada musuh Islam, termasuk diugut bunuh.
Adakah saudara merasai semua itu? Biarpun saudara memiliki ayah yang saudara sifatkan tidak berguna, bukankah saudara masih ada ibu yang bertanggungjawab membesarkan saudara sehingga mampu masuk ke universiti.
Adakah penderitaan saudara akibat cinta ditolak sehebat penderitaan Rasulullah yang hidup serba kekurangan dan nyawa sentiasa terancam atau penderitaan sahabat Rasulullah seperti Bilal bin Rabah yang diseksa sehingga mati demi mempertahankan keimanannya kepada Allah?
Mungkin tidak adil untuk membandingkan saudara dengan Rasulullah dan sahabat yang terlalu tinggi kehebatan mereka. Jadi, apa kata jika saudara melihat penderitaan rakyat negara mundur seperti di Habsyah atau Somalia yang sepanjang masa menderita kebuluran.
Sedarkan saudara, di negara berkenaan rakyat langsung tiada makanan untuk dimakan atau air untuk diminum. Hinggakan ada di kalangan mereka terpaksa makan rumput. Pakaian pula hanya sehelai sepinggang dan tempat tinggal dalam pondok atau khemah.
Jadi, penderitaan siapa yang lebih teruk? Mereka atau saudara? Bukankah saudara masih cukup makan, minum, ada pakaian, tempat tinggal sehingga saudara masih terus dapat hidup di muka bumi sehingga hari ini, berbanding rakyat Habsyah dan Somalia yang kebanyakannya mati sebelum sempat berusia belasan tahun.
Masih tidak adil atau teruk sangatkah Allah, biarpun dia mengurniakan saudara ibu yang baik dan peluang belajar sehingga ke menara gading, sedangkan ramai lagi manusia yang merintih kerana tidak berpeluang menatap wajah ibu mereka serta terhalang cita-cita untuk ke universiti?
Saudara mengatakan tidak pernah mengecap kebahagiaan, tapi pernahkah saudara terfikir mengenai kesihatan saudara? Bukankah kemudahan untuk bernafas, makan, dan minum itu juga satu nikmat atau kebahagiaan daripada Allah yang wajib saudara syukuri.
Jika Allah tarik sedikit saja nikmat, umpamanya bermasalah untuk buang air besar atau kecil, itu sudah memadai untuk saudara tahu betapa berharganya dua nikmat itu.
Bercakap mengenai bahagia, saudara membuat kesilapan besar apabila merumuskan memiliki wang ringgit atau kekayaan akan membawa kebahagiaan.
Sebagai bukti, jika wang atau harta jaminan kebahagiaan, kenapa masih ada jutawan membunuh diri? Jika kebijaksanaan penentu kebahagiaan, kenapa ada manusia bergelar profesor atau hakim membunuh diri? Jika kemasyhuran punca kebahagiaan, kenapa ramai selebriti popular di Barat membunuh diri? Fikirkanlah perkara ini sedalam-dalamnya.
Sebagai contoh, tahukah saudara, ramai orang kaya yang sentiasa hidup gelisah kerana bimbang harta dicuri orang atau anak kena culik. Selebriti atau tokoh ternama yang gelisah atau rimas kerana gerak geri mereka sentiasa diperhatikan dan langsung tiada privasi.
Hakikatnya, jika kita beriman dan berilmu, kita akan tahu betapa kebahagiaan sebenarnya terletak pada ketenangan hati. Hanya hati yang tenang akan membuatkan hidup kita bahagia dan hati pula hanya akan tenang apabila kita melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.
Ini janji Allah dan kita tidak boleh meraguinya kerana Allah mencipta kita, jadi dia tahu apa yang baik serta apa yang buruk untuk kita. Contohnya, mungkin Allah tidak menjadikan saudara jutawan kerana Dia tahu kemewahan itu akan menyebabkan saudara lebih derita. Ini boleh berlaku, jika ada orang yang merompak harta saudara dan mencederakan saudara sehingga mengalami kecacatan kekal.
Mengenai persoalan saudara di manakah keadilan jika orang yang senang hidup di dunia dan masuk syurga bila mati berbanding orang susah di dunia dan mati nanti masuk syurga, jawapannya mudah saja iaitu orang yang susah berpeluang mendapat pahala jika mereka reda dengan kesusahan mereka serta tetap beriman pada Allah, sedangkan orang kaya tidak mendapat pahala tersebut.
Ini kerana, setiap kesabaran dan ketabahan kita menghadapi kesusahan hidup akan Allah anugerahi pahala di akhirat kelak. Ya, di akhirat... di situ sebenarnya matlamat kehidupan kita. Dunia ini hanya sementara dan ia cuma laluan untuk kita menuju kehidupan abadi di akhirat.
Justeru, tidak sepatutnya kita terlalu marah dan kecewa sehingga tergamak mempertikaikan Allah apabila tidak mengecap kebahagiaan di dunia atau apabila cinta ditolak seorang gadis yang kita minati. Ini kerana, tindakan sebegitu hanya menyebabkan kita turut menderita untuk tempoh lebih lama di akhirat.
Sebaliknya, jika kita reda dan tabah menghadapi ujian Allah yang hanya sementara sifatnya di dunia, kita akan mengecapi kebahagiaan sebenar iaitu selama-lamanya di akhirat.
Akhir kata, saya berharap saudara berusaha menambah ilmu Islam, jangan dengki atau buruk sangka pada orang lain dan Allah.
Tuesday, February 22, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment