Monday, October 12, 2009

Coretan pada penghujung Ramadan 1430h

Aku masih ingat lagi pada hari tersebut. Hari Sabtu 29 Ramadan 1430h bersamaan 19 Sep 2009.

Hari yang pada waktu paginya sangat panas. Dari sejak Subuh aku cuba khatam Quran. Aku bermula dari mukasurat 562 Surah ke-67 (Al-Mulk) dan berhenti pada surah 76 (Al-Insan). Terasa penat dan berhenti pada jam 7.00 pagi. Terus aku berehat dan tertidur sehingga jam 8.30 pagi.

Pada lewat pagi, aku masukkan duit raya dalam sampul dan mengenakan butang Baju Melayu dan menyiapkannya beserta samping untuk dipakai pada esok hari. Raya tahun ini aku memakai baju Melayu berwarna merah menyala yang pernah ku pakai pada raya tahun 1997. Ternyata aku masih boleh memakai baju dan seluar 12 tahun yang lalu. Waktu Zuhur disurau Salehuddin dan ku sambung membaca Quran hingga tamat jam 3.00 petang. Alhamdulillah berjaya juga khatam Ramadan ini.

Terus aku ke Digital Mall membeli FM transmitter. Ini bertujuan untuk memasang koleksi lagu raya dalam thumb drive untuk didengar didalam kereta semasa memandu balik ke Kota Bharu pada raya kedua nanti. Lagu Raya kegemaranku ialah dendangan Seniwati Saloma dan M.Nasir. Tidak ketinggalan lagu dendangan Anuar/Elina.

Jam 4.30 Asar di surau Pajar, dan cuaca mula hujan dengan lebatnya. Dah janji dengan adik serta sepupuku untuk membersihkan kubur Tok, Nenek dan abah sejurus selepas Asar, namun cuaca tidak mengizinkan. Hujan berterusan hingga jam 7.00. Jam 7.15 malam waktu berbuka puasa dan tanda berakhirnya Ramadan 1430h. Hafalan Asmaul Husna (99 Nama2 Allah) dan surah Al-Fajr (31 ayat) harus aku kekalkan sehingga Ramadan akan datang.

Maka bermulalah aku bertakbir, tahlil dan tahmid tanda syukur kepada Allah kerana dengan kurnianya dapatku lalui Ramadan dengan baik. Kuharap segala amalan dibulan Ramadan akanku kekalkan dengan rasa tunduk dan syukur kepada Yang Maha Esa.

Amin….

No comments: